PENGIKUT

Isnin, Disember 01, 2014

Ikhlas Berjuang Kerana Allah Demi Menegakkan Islam


1. Ikhlas adalah ungkapan yang mudah disebut tetapi tidak mudah untuk dihayati. Namun mereka yang dikurniakan keikhlasan dalam setiap tingkah laku dan amalan terselamat daripada gangguan dan hiasan amalan jahat Iblis dan Syaitan.


2. Allah menceritakan tentang Iblis yang bersumpah untuk menyesatkan anak Adam;

لَأُزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِي الأَرْضِ وَلَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ إِلَّا عِبَادَكَ مِنْهُمُ الْمُخْلَصِينَ
"Pasti aku hiaskan bagi mereka (sehingga yang keji dilihat baik, yang batil dilihat benar) di bumi ini dan pasti aku sesatkan mereka kesemuanya melainkan hamba-hamba-Mu yang diikhlaskan (hatinya) (mukhlasin). Surah Hijr ayat 39-40.

3. Ikhlas bermaksud melakukan segala urusan dan perkara semata-mata untuk mendapat redha dan pahala daripada Allah. Bukan bertujuan mendapat pujian dan penghargaan manusia. Juga bukan untuk dibalas jasanya oleh manusia. Bukan juga untuk dilihat hebat di mata manusia.

4. Orang yang ikhlas tidak terkesan dengan kejian manusia dan tidak terpengaruh dengan penghargaan mereka.

5. Nabi saw ditanya tentang lelaki yang berperang kerana berani, berperang kerana semangat, berperang kerana menunjuk-nunjuk, siapakah yang berada di jalan Allah?
Baginda saw menegaskan : "sesiapa yang berperang supaya Kalimah Allah menjadi yang tertinggi maka dialah yang berada di jalan Allah." Hadis riwayat Bukhari dan Muslim

6. Moga Allah golongkan kita di kalangan orang yang ikhlas mewakafkan hidup demi menegakkan dan memperjuangkan agamaNya. 

Nukilan al-Faqiiru ilaLlah;

Ust Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri

Tiada ulasan: