PENGIKUT

Isnin, Disember 01, 2014

Berjuang Menobatkan Pemerintahan Islam


1. Perjuangan Islam ialah untuk menggantikan sistem pemerintahan Jahiliyah dengan sistem pemerintahan Islam.

2. Rib'i ibnu Aamir dalam misi pembukaan kuasa dan perluasan dakwah Islam berkata di hadapan Rustom pemimpin besar Rom menegaskan 3 misi:

"Allah mengutuskan kami untuk kami keluarkan sesiapa yang Allah kehendaki daripada perhambaan kepada manusia kepada perhambaan kepada Tuhan Rabb Pencipta, Pemilik dan Pengurus manusia, daripada kezaliman pelbagai anutan kepercayaan kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan Akhirat".

3. Keadilan akan dikecapi oleh umat manusia apabila sistem politik pentadbiran, ekonomi dan sosial Islam mendasari sesebuah pemerintahan. Sistem Islam ini pula diterajui oleh jiwa-jiwa yang mempunyai aqidah dosa dan pahala di samping mempunyai keperibadian baik dengan akhlak mulia Islam berhadapan dengan manusia.

4. Kepincangan pemerintahan, kebocoran pengurusan kewangan dan pembaziran, kronisma, nepotisma, rasuah, penguasaan ekonomi oleh segolongan elit, pengurusan ekonomi yang gagal, kerosakan alam sekitar, kepincangan akhlak, peningkatan jenayah harta dan kemanusiaan dan kerosakan pemikiran adalah simpton dan penyakit-penyakit yang bakal dibenih dan dilahirkan sama ada cepat atau lambat oleh sistem pemerintahan Jahiliyah tidak berasaskan Islam.

5. Allah berfirman

وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولًا أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ فَمِنْهُمْ مَنْ هَدَى اللَّهُ وَمِنْهُمْ مَنْ حَقَّتْ عَلَيْهِ الضَّلَالَةُ

Maksudnya: "Sememangnya Kami bangkitkankepada setiap ummat itu seorang Rasul (untuk menyeru) hendaklah kamu semua mengabdikan diri kepada Allah dan jauhilah Taghut. Maka ada kalangan diber hidayah oleh Allah dan ada pula yang tetap atas dirinya kesesatan". 
Surah al-Nahl ayat 36

Taghut sebagaimana yang ditafsirkan oleh para Sarjana Tafsir ialah sebarang sembahan dan orang yang diberikan ketaatan pengabdian diri kepadanya selain daripada Allah dan juga pihak yang menyeru ke arah kesesatan dan yang berlawanan dengan Islam.

6. Tugas kita ialah menyeru manusia meninggalkan Taghut yang bercanggah dengan Islam.

7. Moga kita terus istiqamah memperjuangkan sebuah pemerintahan Islam yang pasti adil dan berkebajikan untuk semua.

Nukilan al-Faqiiru ilaLlah;

Ust Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus

Tiada ulasan: