PENGIKUT

Isnin, Disember 01, 2014

SERUAN KE IJTIMAK TARBAWI 4.0



1. Pemuda adalah sumber sokongan dan tenaga penggerak utama kepada PAS sebagai sebuah parti siasah dan Harakah Islam. Keberadaan pemuda bukan sahaja menjana tarikan sokongan kepada keperluan PAS dalam mendapatkan kuasa, bahkan mencapai matlamat tertinggi perjuangan ke tingkat ustaziyatul 'alam.

2. Inilah iltizam yang wajib membugar disanubari para Pemuda PAS dalam mendokong cita-cita meninggikan kalimah Allah di atas muka bumi sementara ini menerusi intima' atau penyatuan diri bersama jamaah PAS.

3. Kita mengimani, hasrat tersebut tidak semudah melontar kata-kata dan tabiat dilalui perjuangan ini yang dirintis para Nabi dan Rasul telah memperlihatkan kepada kita kepentingan pembentukan teguh akidah tauhid menerusi manhaj tarbiyah rabbani.

4. Mencelup ke acuan yang sama, maka DPPM menerusi Lajnah Tarbiyyah akan meneruskan kelangsungan Ijtimak Tarbawi sejak ia diadakan kali pertama di Rusila, Marang, Terengganu pada 2010 dengan tampil untuk siri keempat pada 5 hingga 7 Disember depan di Yayasan an-Nahdhoh, Pulau Pinang.

5. Penyertaan setiap ahli Pemuda PAS terutama mereka yang memegang taklifan di peringkat Dewan Pemuda Kawasan amat penting sebagai satu bentuk penyatuan fikrah dan amal. Di sinilah ruang kita menghadami hadaf perjuangan kita secara manhaj jamaie seterusnya menghidupkan amal tarbawi dan siyasi disamping menjalin ukhuwah sesama ahli Pemuda PAS dari seluruh negara.

6. Kita yakin dan percaya, kesatuan inilah sebenarnya resepi kejayaan untuk kita merintis hari mendepan yang semakin terserlah rencam cabarannya. Pemuda tidak harus terperuk dengan serangan pemikiran yang mengelirukan dan bebanan tugas tidak terkoordinasi hingga melemahkan hingga akhirnya melambatkan tercapai matlamat.

7. Inilah disiplin buat Pemuda PAS sekaligus merealisasikan tuntutan "Terus Beristiqamah" dalam garis yang telah dikemukakan Muktamar Tahunan PAS baru-baru ini sebagai rangka kesetiaan dan wala' kita kepada jamaah. Untuk itu, peruntukan Ijtimak Tarbawi 4.0 ini sebagai masa dan tempat untuk kita melengkapkan diri dalam saf tersusun bagi meneruskan agenda-agenda Pemuda.

8. Bahawa kita mengaku, keizzahan jamaah ini bermula dari kesiapsiagaan para Pemudanya untuk dibentuk dan membentuk sesuai dengan semua peranan para pemuda beriman yang telah ditunjukkan Allah dalam al-Quran. Moga-moga kitalah para pemuda itu. Siru'alabarakatillah, bertemu di Ijtimak Tarbawi 4.0.

" TARBIYAH TERAS ISTIQAMAH " 

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia

Tiada ulasan: