PENGIKUT

Ahad, Disember 07, 2014

IJTIMAK TARBAWI : JANGAN TERPENGARUH USAHA BURUKKAN ULAMA

Mantan Naib Presiden PAS, Dr Sanusi Daeng Mariok berpesan pada keseluruhan ahli PAS usah termakan usaha memburuk-burukan ulama sebaliknya memastikan benteng akidah semakin utuh dan kuat. Menurutnya lagi, kejayaan ulama mentadbir terbukti apabila bekas Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dapat bertahan sehingga 24 tahun dengan slogan 'Membangun Bersama Islam'. Ketegasan beliau jelasnya, mempertahankan prinsip perjuangan menimbulkan ketakutan dalam kalangan rakan dan musuh.


 "Ulama mesti dipertahankan. Para pemuda harus bangun dan jangan leka dengan mainan musuh yang sedang mencari-cari lubang memusnahkan perjuangan yang terbina lama hasil perjuangan orang terdahulu," tegasnya dalam kuliah maghrib di Yayasan An-Nahdhoh malam tadi. Terang beliau, fenomena penubuhan parti baru bukan perkara baru pada PAS kerana sebelum ini semua parti serpihan PAS dengan sendirinya terkubur. Sekarang ini apa yang sedang diusahakan oleh sesetengah orang PAS sendiri belum pasti semata-mata mahu menenggelamkan peranan ulama yang menjadi teras perjuangan selama ini. 

 Justeru itu, kewibawaan kepimpinan menanganinya mesti padu supaya apa yang diagendakan tidak kesampaian sekali gus musnah di tengah jalan. "Ulama mesti berani ke depan tangani apa juga mehnah yang mendatang agar ia tidak merebak luas menjadi nanah yang boleh pecah mengeluarkan bau yang busuk," ujarnya dalam program kali ke empat selepas Terengganu, Selangor dan Johor. Hadir sama dalam acara pertama sempena Ijtimak Tarbawi 4.0 itu ialah Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi dan naibnya Khairil Nizam Khirudin.

Tiada ulasan: