1. Individu yang faqih memahami al-Quran dan
al-Sunnah mempunyai kedudukan yang tinggi dan mulia di sisi Allah dengan syarat
disertai dengan taqwa sebagaimana sabit dalam al-Quran dan al-Hadis. Nabi
bersabda: ُ مَنْ يُرِدْ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا
يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ Sesiapa yang Allah mahukan untuk dirinya satu
kebaikan maka Allah bagi kefaqihan (kefahaman mendalam) dalam agama. Hadis
Bukhari
2. Menjelaskan kedudukan dan kelebihan ulamak
secara umum sebagaimana yang telah dinyatakan di dalam hadis tidak bererti
mensucikan individu yg alim daripada kelemahan dan kesilapan.
3. Ulamak bukan jenama eksklusif
milik golongan atau institusi tertentu seperti Majlis Syura Ulamak, Dewan
Ulamak, Persatuan-persatuan Ulamak, Majlis-majlis Ulamak dan seumpamanya tetapi
ia adalah sifat yg boleh dimiliki oleh sesiapa yg menguasai disiplin ilmu wahyu
yang baik dgn kemampuan bahasa arab yg mantap dan mampu merujuk kepada al-Quran
dan al-Hadis meskipun dia seorang peniaga, petani, kerani, ahli politik,
doktor, jurutera dan sebagainya.
4. Mencadangkan Presiden dan Timbalan di
kalangan "ulamak yang faqih dan memahami realiti semasa" adalah
cadangan berasaskan merit dan kelayakan untuk diberi keutamaan (afdhal/lebih
baik) untuk menjadi pemimpin iaitu ilmu agama di samping sifat kepimpinan yg
lain seperti beriman, bertaqwa, bijak dan amanah.
6. Cadangan tersebut tidak menafikan
kelayakan untuk memimpin bagi individu-individu yang mempunyai sifat-sifat
pemimpin seperti beriman, bertaqwa, bijak dan amanah namun memiliki kekurangan
pada keilmuan dan kefaqihan agamanya.
7. Cadangan tersebut juga tidak
menghalang mana-mana individu yg mempunyai sifat kepimpinan seperti beriman,
bertaqwa, bijak dan amanah tetapi masih kekurangan pada keilmuan dan kefaqihan
agamanya, meskipun latarbelakang pekerjaannya pelbagai tetapi masih tetap
berkelayakan untuk menjadi pemimpin di semua peringkat parti sama ada cawangan,
kawasan mahupun pusat. Dan itulah yang telah berlaku selama berdekad dalam PAS
sejak awal penubuhannya.
8. Cadangan ilmu dan faqih agama sebagai
merit kelayakan pemimpin utama gerakan Islam bukanlah cadangan yg undur ke
belakang sebagaimana dakwaan setengah pihak kerana ia selari dgn Islam
sebagaimana yg telah dicontohkan oleh para rasul dan khulafa rashidin.
Kegemilangan mereka menjadi teladan kepada kita dalam mengemudi gerakan Islam
pada masa kini. Merit ini perlu turut digabungkan dengan sifat quwwah dan amanah
yg menjadi sebahagian kriteria umum kepada sesebuah kepimpinan. Malah menentang
cadangan tersebut adalah langkah mundur meninggalkan Islam yg menjadi asas
rujukan gerakan islam.
9. Gerakan
Islam bermatlamat memandu manusia kepada Islam dan mendapatkan kuasa untuk
memerintah dengan Islam. Usaha gerakan Islam ialah membentuk kerajaan yang
berfungsi إقامة الدين وسياسة الدنيا به "Menegakkan
agama dan mentadbir bumi dengan agama" Justeru selayaknya dan sewajarnya
keilmuan dan kefaqihan mendalam tentang Islam menjadi pra syarat dan merit
tambahan untuk menjadi pemimpin utama gerakan Islam. Sebagaimana organisasi
perubatan selayak dan sebaiknya dipimpin oleh mereka yg paling berkepakaran
tentang perubatan tanpa menafikan kelayakan orang-orang yang juga berada di
bidang perubatan.
10. Seorang individu yg alim tetapi tidak memiliki
sifat2 kepimpinan yg lain seperti beriman, bertaqwa, bijak dan amanah
sewajarnya tidak diberikan amanah kepimpinan.
11. Serangan berbentuk cemuhan dan tohmahan
terhadap resolusi Multaqa Ulamak Se-Malaysia ini dibimbangi hanya berasaskan
emosi dan bukannya berasaskan ilmu. Ahli2 PAS tidak sewajarnya terikut-ikut
dengan segelintir penulis maya yg berbahasa kotor, jijik dan sinis. Nabi saw
bersabda : لَيْسَ الْمُؤْمِنُ بِالطَّعَّانِ وَلا اللَّعَّانِ
وَلا الْفَاحِشِ وَلا الْبَذِيءِ " . Bukanlah mukmin itu seorang yg
terlalu suka mengecam dan membuat tohmahan, tidak juga yg terlalu suka
melaknat, tidak juga berbahasa lucah dan tidak juga berbahasa kotor dan jijik.
(Hadis riwayat Ahmad dan Hakim )
12. Sikap
memperbodohkan pandangan dan resolusi multaqa yang dibuat secara jamaei oleh
ulamak bukanlah sebahagian daripada akhlak Islam kerana ia gambaran keegoan dan
keangkuhan pandangan. Jauh sekali menjadi akhlak kepada pendokong gerakan
Islam. Dibimbangi akan termasuk dalam kategori peringatan Nabi saw: أَخْوَفُ مَا أَخَافُ عَلَيْكُمْ ثَلاثُ مُهْلِكَاتٍ : شُحٌّ
مُطَاعٌ ، وَهَوًى مُتَّبَعٌ ، وَإِعْجَابُ كُلِّ ذِي رَأْيٍ بِرَأْيِهِ
" . Yang paling saya bimbang terhadap kamu tiga perkara yang membinasakan;
kebakhilan yang ditaati, nafsu yang diikuti dan kekaguman setiap individu yang
memberikan pandangan dengan pandangannya. (Riwayat al- Bazzar dan al-Asbahani)
13. Tidak ada sebab untuk ahli-ahli gerakan Islam
yang tidak mempunyai ilmu mendalam tentang Islam terasa dipinggirkan daripada
kepimpinan gerakan Islam sekiranya mereka memahami fungsi dan matlamat
perjuangan gerakan Islam. Ia sepatutnya menjadi cabaran kepada setiap ahli-ahli
gerakan Islam untuk berusaha menambahkan ilmu tentang Islam untuk melayakkan
mereka juga mempunyai merit tambahan sebagai pemimpin gerakan Islam sementelah
lagi mendalami Islam itu sememangnya tuntutan Islam dan tuntutan perjuangan.
Malah setiap ahli PAS boleh berperanan dan menyumbang untuk kemajuan dakwah dan
perjuangan PAS dengan pelbagai cara berdasarkan kelebihan yang dimiliki oleh
setiap orang kerana nilaian di sisi Allah pada kerja dan amal. {وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ
وَالْمُؤْمِنُونَ} [التوبة:105] Dan katakanlah oleh kamu semua; bekerjalah
pasti nanti Allah melihat kerja kamu dan juga ia dilihat oleh Rasul-Nya dan
orang2 beriman"
14. Perjawatan dalam gerakan Islam adalah amanah
dan tanggungjawab membawa Islam dan bukannya kemuliaan yang menjadi rebutan
individu yang menganggotainya. Resolusi Multaqa mencadangkan merit kelayakan
memikul amanah dan tanggungjawab bagi menjadi pertimbangan ahli dalam memilih
pemimpin yang menggalas amanah.
15. Apatah lagi resolusi hanya menegaskan syarat
tambahan itu khususnya untuk perjawatan Presiden dan Timbalan dan sebahagian
Naib Presiden yang merupakan pengemudi utama gerakan Islam. Ia tidak merujuk
kepada perjawatan-perjawatan lain.
16. Tidakkah selama ini sejak awal penubuhan PAS,
kuliah ilmu Islam dalam pelbagai bentuk merupakan sebahagian daripada agenda
utama Parti Islam Semalaysia PAS. Dengan penyebaran ilmu inilah masyarakat
semakin meninggalkan kejahilan dan jahiliyyah pemerintah BN dan UMNO harini.
Maka selayaknya kefahaman agama menjadi nilaian dalam menentukan kepimpinan
oleh ahli-ahli PAS. Atau adakah kerana leka berpolitik semata-mata menyebabkan
ahli2 PAS tidak lagi melihat kefahaman agama mendalam sebagai suatu yang
mendasar dan paksi dalam perjuangan serta nilai tambah kepimpinanan?
17. Cadangan
Presiden dan Timbalan di kalangan "ulamak yg memahami dan faqih tentang
Islam dan realiti semasa" bukanlah satu bentuk "meminta jawatan"
sebagaimana dakwaan sebahagian pihak. Ia adalah penegasan prinsip dan kaedah
penilaian kepimpinan. Multaqa Ulamak mencadangkan sebagai satu kewajipan orang
berilmu untuk menyatakan pandangan Islam dalam kepimpinan. Jika para alim
ulamak tidak menyatakannya, siapakah lagi yang diharapkan untuk menjelaskan
prinsip tersebut. Malah ulamak tidak perlu malu untuk bertindak sedemikian
bahkan malu menyatakan kebenaran adalah usikan syaitan supaya ulamak
menyembunyikan kebenaran.
18. Jawatan
dalam Islam tidak boleh diminta atau dituntut oleh individu Islam sebagaimana
seseorang individu meminta dirinya dipilih menjadi Presiden dan Timbalan.
Inilah penegasan hadis-hadis Nabi saw. Resolusi Multaqa adalah resolusi jamaei
secara beramai-ramai oleh ulamak untuk menegaskan nilai tambah syarat
kepimpinan iaitu "faqih" dan bukannya perlakuan meminta jawatan oleh
individu untuk dirinya sendiri secara individu. Kekeliruan memahami hukum
"meminta jawatan" ini perlu dirungkai supaya tidak berlaku kekeliruan
hukum lalu menempelak ulamak kononnya meminta jawatan.
19. DUPP sangat yakin dengan perjalanan panjang PAS
yang berusia 62 tahun, ia memiliki sangat ramai ahli-ahli yang mempunyai nilai
tambah kepimpinan yang "faqih" tentang Islam dan realiti semasa
meskipun ia belum dikedepankan lagi kepada ahli untuk alternatif pilihan dalam
muktamar pemilihan.
20. DUPP
menegaskan bahawa resolusi Multaqa agar Presiden dan Timbalan sewajarnya
daripada kalangan ulamak (orang-orang berilmu) yang faqih tentang Islam
(memahami dgn mendalam al-Quran dan al-Sunnah) dan realiti semasa (seperti isu
politik semasa) adalah resolusi yang selaras dengan saranan Islam. Ia
dilontarkan kepada seluruh ahli-ahli PAS untuk bahan penilaian atas kesedaran
bahawa perlembagaan PAS tidak meletakkan syarat tersebut sebagai syarat wajib
maka ia terbuka untuk menjadi syarat nilai tambah kepada kelayakan berasaskan
Islam.
21. Merit
kefahaman agama mendalam sebagai kelayakan terbaik menjadi pemimpin sangat
penting dan mendasar. Nabi saw bersabda : إِذَا
ضُيِّعَتْ الْأَمَانَةُ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ قَالَ كَيْفَ إِضَاعَتُهَا يَا
رَسُولَ اللَّهِ قَالَ إِذَا أُسْنِدَ الْأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ
فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ Apabila amanah dipersiakan maka tunggulah kiamat.
Sahabat bertanya; bagaimana amanah dipersiakan? Baginda menegaskan
"apabila sesuatu urusan disandarkan kepada bukan ahlinya (tidak
berkelayakan) maka tunggulah kiamat" Hadis Bukhari
Ust Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat
Tiada ulasan:
Catat Ulasan