Golongan ulama masih mendominasi kepimpinan dalam Pas, kata Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat, Nik Muhammad Zawawi Salleh.
Menurutnya, golongan tersebut tidak pernah tenggelam dan masih kuat dalam parti itu.
“Pas dipimpin oleh golongan ulama (Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat), macam mana boleh kata golongan ulama tenggelam.
“Setiap pandangan yang diutarakan oleh golongan ulama masih diterima baik oleh parti,” katanya kepada Sinar Harian.
Nik Muhammad Zawawi berkata, isu pokok yang akan dibawa pada sesi muktamar Pas kali ini memfokuskan usaha Pas menuju ke Putrajaya.
“Muktamar adalah tempat terbaik untuk berbincang dan berbahas tentang apa sahaja isu yang dilihat penting kepada parti.
“Sehubungan itu, Dewan Ulama menerima hampir kesemua usul yang dicadangkan oleh ahli akar umbi,” katanya.
Kelmarin, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam berharap golongan ulama akan lebih menonjol dalam muktamar Pas kali ini dan kembali menguasi kepimpinan parti.
Muktamar Dewan Ulama yang akan berlangsung hari ini di Perdana Resort, Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu bermula jam 8 pagi sehingga 11 malam.
Acara perasmian akan disempurnakan oleh Ketua Dewan Ulama Pas Pusat sendiri, Datuk Harun Taib, sementara ucaptama muktamar akan dibacakan oleh Timbalan Ketua Dewan Ulama, Datuk Ahmad Yaakob.
Ucaptama untuk muktamar kali ini bertemakan Ulamak Haraki benteng Izzah Islam.
Gimik penyerahan kad keahlian terkini Dewan Ulama akan disempurnakan oleh Ketua Dewan.
Manakala acara perasmian reka bentuk terkini web Dewan Ulama Pas Pusat akan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Dewan Ulama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan