PENGIKUT

Ahad, Mac 01, 2015

PRO ULAMA vs ULAMA PRO

Oleh UST. HJ. KAMIL SIDEK

Berhari raya sampai baju kotor,
Basuh sekejap letak di jemuran,
Anak saya adalah seorang doktor,
Tapi doktor yang hafiz Al-Quran.

Al-Imam al-Mawardi meletakkan salah satu dari tujuh syarat untuk menjadi khalifah ialah: "Haruslah mempunyai kemampuan untuk menguruskan politik dan kemaslahatan rakyat jelata. Sekalipun dia bergelar ulama, tetapi tiada kemampuan dalam soal ini, dia dikira tidak layak untuk menjadi pemerintah."

CERAH-CERAHKAN :

Perbahasan sama ada ulama atau profesional yang lebih layak untuk menjadi ketua negara sebenarnya tidaklah perlu. Apa yang penting kita hendaklah jelas, apakah yang kita kehendaki daripada sebuah pemerintahan dan siyasah tersebut? Yang menjadi tumpuan tanggungjawab siyasah syariah adalah untuk mewujudkan keadilan dan kesejahteraan berdasarkan petunjuk wahyu Ilahi.


Dalam maksud untuk menggapai hasrat ini, seseorang pemerintah yang dibantu oleh ilmu pengetahuan adalah penting. Jika dia ulama yang mahir dalam politik serta mempunyai ketangkasan siyasah, tentulah itu yang terbaik. Namun sekiranya dia seorang ahli politik profesional yang mahir walaupun bukan ulama, dia boleh dibantu oleh para ulama yang mendokong untuk mencapai hasrat tersebut. Sebagaimana kehebatan dan kejayaan Sultan Muhammad Al-Fateh yang sentiasa didampingi penasihat agamanya yang bernama Syeikh Sulaiman.

Apa yang menjadi masalah adalah jika seseorang yang jahil atau tidak mahir pentadbiran dan siyasah tetapi tetap ingin menjadi pemerintah. Walaupun dia memakai gelaran ‘ulama’ mahupun professional. Justeru itu, Nabi SAW bersabda kepada sahabat baginda yang soleh dan warak Abu Zar al-Ghifari :
“Wahai Abu Zar, sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya.” (HR : Muslim).
Namun Khalid bin Al-Walid r.a. sekalipun Nabi SAW pernah menegur dan membantah beberapa tindakannya yang melanggar disiplin peperangan yang digariskan oleh baginda, tetap baginda pilih mengepalai tentera Islam dan menggelarnya sebagai 'Saifullah' (Pedang Allah) Ini kerana kemampuan yang dimiliki Khalid tidak dimiliki oleh sahabat-sahabat lain, sekalipun mereka lebih berilmu dan dekat dengan Nabi SAW dibandingkan Khalid.
Al-Imam Ibn Taimiyyah dalam Al-Siyasah al-Syar`iyyah fi Islah al-Ra`iy wa al-Ra`iyyah menyebut : “Apabila dua orang, salah seorangnya lebih amanah dan seorang lagi lebih kuat (mampu) maka hendaklah didahulukan yang lebih bermanfaat untuk jawatan berkenaaan dan paling kurang mudharatnya bagi jawatan tersebut. Maka dalam mengepalai peperangan, yang kuat dan berani -walaupun padanya ada kekurangan diutamakan dari lelaki yang lemah dan tidak berkemampuan walaupun dia seorang yang amanah.
Maka tanggungjawab umat Islam sekarang sepatutnya bukan lagi membincangkan ‘ulama’ atau ‘professional’ yang layak memerintah, tetapi melihat tanggungjawab jawatan tersebut dalam kerangka politik hari ini dan siapakah yang paling sesuai atau paling berkesan dalam mencapai matlamat sebuah negara yang adil dan dirahmati Allah. Isunya bukan isu gelaran, atau jenis pakaian, tetapi isu amanah dan kemampuan dalam mentadbir urus negara dan mensejahterakan kehidupan rakyat.
Saling perlu memerlukan antara satu sama lain begitu simbiosis hubungannya seperti 'Aur dengan tebing' atau seperti 'Isi dengan kuku'. Contoh, hukum potong tangan dijatuhkan oleh golongan ulama yang faqih syariah tetapi yang melaksanakannya perlu golongan profesional (doktor atau pakar perubatan) untuk cepat menghentikan pendarahan tersebut.
Kepimpinan ulama bukan istilah atau slogan juga bukan konsep untuk mewujudkan dikotomi atau monopoli sekaligus mendominasi pada semua peringkat kepimpinan. Sebaliknya kepimpinan ulama adalah konsep sebuah kepimpinan 'ilmu' dan 'pendokongnya yang berilmu' yang menepati kehendak
Islam untuk memimpin perjuangan ini dengan benar dan pula menepati Manhaj Perjuangan Islam. Bukan konsep kepimpinan yang memisah atau meminggirkan mana-mana golongan lain yang ada dalam jamaah.

Tetapi mana-mana individu atau pihak yang meletakkan diri mereka, bertentangan dengan dasar dan matlamat perjuangan Islam yang didokong oleh ulama ini, hendaklah diluruskan agar ia kembali melandasi matlamat dan dasar perjuangan yang betul. Sama ada dari golongan ulama itu sendiri ataupun golongan profesional ataupun golongan pendokong yang sebenarnya lebih ramai jumlahnya, itu bukan persoalannya. Sikap sesetengah individu yang memesong diri dari dasar, matlamat, ilmu, amal, adab dan akhlak perjuangan Islam mesti dibetulkan kembali. Sementara kebiadaban dan kedegilan mempertahankan sikap yang salah itu pula mesti ditentang dan dibuang.
Begitu juga tolaklah individu atau mereka yang merosakkan jamaah, mereka yang membocorkan rahsia jamaah, mereka yang menikam jamaah dari belakang, mereka yang menabur fitnah dan tohmahan dalam jamaah, mereka yang mewujudkan 'jamaah' dalam jamaah, mereka yang melaga-lagakan pemimpin dan 1001 lagi salah laku yang mesti dicari, dikesan dan 'didelete' dari kamus perjuangan Islam.
Ada juga pihak yang ingin menafsirkan semula siapa ulama dan profesional. Iaitu dengan menggabungjalinkan kedua-dua golongan ini, seperti Doktor yang hafaz Quran juga ulama yang profesional, engineer yang boleh baca dan hurai Kitab Turath lama (kitab pondok) dan tafsir Al-Quran pula adalah merupakan profesional yang ulama.
Kini timbul semula isu ulama vs profesional. maka bermulalah semula perbandingan, pengkategorian dan pengasingan antara ulama dan profesional, walhal ulama itu sendiri adalah satu profesion iaitu ulama adalah profesional. Sama seperti orang Yahudi memecahkan golongan Auz dan Khazraj dengan mewujudkan jurang dengan mewujudkan pengkategorian seperti ini.
Sebab kepimpinan bukan milik sesiapa tetapi milik mereka yang layak. Nabi SAW berpesan, jika diserahkan urusan kepimpinan kepada mereka yang tidak berkelayakan, maka tunggulah kehancurannya :
إذا وسد الأمر إلى غير أهله فانتظر الساعة
"Apabila diserahkan urusan kepada mereka yang bukan ahlinya (bidangnya) maka tunggulah saat ketikanya (kegagalannya)!
Ringkasnya, kelayakan seseorang pemimpin mestilah berilmu, bertaqwa, beriman, amanah, kuat atau mampu melaksanakan tugas dengan baik tak kiralah sama ada dia seorang ulama yang profesional atau seorang profesional yang ulama.
Jelaslah di sini bahawa taa'rif seorang ulama' yang sebenarnya ialah, mereka yang bersungguh-sungguh menuntut ilmu dan mendalami agama. Sekalipun asalnya mereka adalah seorang engineer, arkitek, doktor perubatan atau lainnya. Seorang yang profesional pula mereka yang mahir dalam ilmu Fardhu Kifayah kemudian ia mempelajari ilmu Fardhu Ain dan yang lainnya dengan tekun dan baik, mereka juga layak untuk digelar sebagai ulama.
Ada juga pendapat yang mengatakan ulama juga profesional jika perkataan profesional itu merujuk kepada kemahiran atau penguasaan bidang dan ilmu tertentu. Seperti ada orang profesional dalam bidang tafsir dan hadis, tajwid, dakwah dan seumpamanya lagi. Inilah profesional yang ulama (berilmu) atau mereka merupakan ulama yang profesional yang layak menjadi pemimpin dimana-mana pun posisi.
SIMPUL-SIMPULKAN :
Cuma akhir-akhir zaman ini sukar untuk kita mencari orang yang mahir dalam semua perkara, justeru itu ia memerlukan kepimpinan yang kolektif (bersama). Tinggal lagi untuk menerajui kolektif tersebut mestilah yang menguasai ilmu Al-Quran dan Al-Hadis lantaran perjuangan ini berlandaskan kedua-dua sumber primer dan sekunder in

Tiada ulasan: