PENGIKUT

Isnin, Mac 24, 2014

HINDARI FAHAMAN SOSIALISME

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani.

Maksud firman Allah Taala : "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah ke dalam Islam secara keseluruhan.." (Al-Baqarah : 208)Keimanan kepada ayat ini adalah sebab bagi perjuangan Islam kontemporari. Perjuangan menolak segala fahaman dan ideologi Sekular Barat untuk kembali kepada Islam sepenuhnya.Ia turun sebagai menegur ilmuan Yahudi yang telah menerima Islam namun masih kekal mematuhi sebahagian syariat ugama asalnya. Beliau hanya memakai Islam setakat yang tidak menyanggahi ugama asalnya.

Mana yang bercanggah seperti Islam tidak memuliakan hari Sabtu dan tidak mengharamkan daging unta maka beliau tidak mematuhinya.Menerima Islam tetapi tidak bersedia menerima sebahagian ajarannya maka itu bukanlah Islam lagi tetapi Islam palsu yang tidak menyelamatkan penganutnya dari api neraka.Allah Taala memerintah kita jangan mengikut Islam palsu dan sembahan-sembahan palsu. Daripada senarai panjang Islam palsu ialah Islam versi golongan sosialis yang muncul di Malaysia pada hari ini.
Sebagai contohnya dalam Aqidah Tawhid, Islam menegaskan hanya Allah yang berkuasa menentu dan mencipta. Tiada yang berkuasa selain Allah.Dengan kehendak-Nya sahaja dan kekuasaan-Nya sahaja Dia yang bersifat Tunggal mencipta alam dan manusia tanpa sebarang bantuan, alatan maupun perantaraan. Dia mengutuskan para Rasul membawa ajaran ugama dan memerintah manusia berusaha melakukan kebaikan dan menolak kejahatan dalam setiap urusan kehidupannya. Tidak ada kejadian dan peristiwa melainkan dengan kehendak dan ciptaan Allah semata-mata. Fahaman sosialis pula meletakkan kuasa penentu (determinisme) hanya kepada material. Karl Marx yang berbangsa Yahudi menegaskan bahawa aktiviti ekonomi adalah penentu mutlak terhadap kelakuan dan aktiviti manusia di bidang sosial, politik, agama, falsafah, seni, idea dan lain-lainnya.
Oleh itu di dalam fahaman sosialis sebenarnya tidak ada kebenaran mutlak dan nilai yang tetap. Semuanya berubah menurut perubahan aktiviti ekonomi.Saya merasa hairan bagaimana seorang sosialis boleh menjadi sosialis soleh apabila dia menolak Allah sebagai pencipta yang tunggal dan berkehendak yang mutlak. Bagaimana dia boleh menjadi sosialis soleh apabila ugama pada ajaran ideologinya adalah kesan dari ekonomi dan bukannya benar-benar wahyu dari Allah dan keterangan Rasul-Nya SAW.Bahkan apalah nilai sebutannya akan nama Allah dengan makna sosialisnya yang menghina dan meletakkan Allah lebih rendah dari Karl Marx. Janganlah kita menjadi orang yang mudah terpedaya dengan lakonan dan penipuan sosialis.
Sosialisme adalah peringkat yang menyusul kejatuhan kapitalisme sebelum kemunculan Komunisme. Dengan lain perkataan, dalam pemikiran Karl Marx golongan sosialis adalah komunis muda yang belum lengkap sifat-sifat komunisnya.Sosialis dalam mencapai matlamat politiknya mengambil pendekatan demokratik berbanding komunis. Bahkan di negara-negara seperti Itali, Perancis dan Spain golongan Komunis juga mengambil pendekatan dan idea-idea demokratik bagi mengkaburkan pertembungan mereka dengan golongan Kristian demokratik.Mereka cuba melakukan pendekatan yang sama di Malaysia dan memilih negeri serambi Mekah sebagai sasaran utama untuk merosakkan Islam.Golongan sosialis berasaskan teori dialektika materialisme yang diperkenalkan oleh Karl Marx berusaha mewujudkan sistem ekonomi yang berteraskan pemilikan bersama terhadap keupayaan-keupayaan produksi serta konsep kerjasama dalam pengurusan ekonomi.
Bagi mereka pemilikan peribadi menjadi punca kezaliman kapitalis dan sistemnya. Sekilas pandang memanglah cita-cita sosialis ini kelihatan indah iaitu menentang kezaliman kapitalis dan memberi keadilan ekonomi kepada rakyat. Mereka berusaha menambah gambaran indah itu lagi dengan menunjukkan persamaan antara perjuangan sosialis dengan Islam.Walhal sebenarnya mereka bermaksud untuk menolak Islam sebagai asas politik dan sebaliknya menjadikan pemikiran Karl Marx memandu perjuangan politik rakyat. Dalam situasi negara yang gawat mereka ingin menangguk di air keruh bagi menjerat umat Islam kedalam ideologi dan perjuangan mereka yang sesat. Semoga Allah melindungi jamaah dan umat Islam dari kejahatan mereka.
Sosialisme dibangunkan di atas keyakinan kebenaran teori Materialisme Sejarah Karl Marx. Teori evolusi Darwin pula menjadi asas saintifiknya.
Malangnya kedua-dua teori tersebut telah ditolak sendiri oleh cendekiawan-cendiakawan Barat dan mereka menganggapnya tidak mempunyai nilai saintifik sebenar.
Sebagai contohnya Roger Garaudy seorang intelektual dan pendokong besar teori Karl Marx di Perancis dan pemimpin parti komunis di negara tersebut telah bertaubat daripada fahamannya dan menerima Islam sebagai penyelesaian.Islam palsu sebagaimana seluruh ideologi ciptaan manusia tidak akan membawa kepada penyelesaian yang didambakan. Ia hanyalah fatamorgana yang membawa penyelesaian palsu, kekecewaan di dunia dan penyesalan di akhirat.Para pendukung gerakan Islam wajib menolak dengan sekeras-kerasnya sebarang usaha penyusupan masuk pemikiran pemikiran sekular ke dalam jamaah samada melalui ahli atau pimpinan yang lemah akalnya lalu tunduk kepada serangan fikiran yang menyesatkan dan menjadi pembawa-pembawa penyakit berbahaya kepada saudara-saudaranya yang berada di dalam gerakan Islam yang unggul ini.Maksud firman Allah Taala: "Sesungguhnya AlQuran ini memberi petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus..." (Al-Israa' : 9)
Ustaz Zulkifli Ismail Muhammad
Penulis buku 'Ancaman Bahaya Sekularisme'. 
Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Melaka. 
Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Pusat.

Tiada ulasan: