
2. Amanah ilmu yang sedia terpikul dipundak mereka turut mewajibkan para
alim ulama' ini berada di medan perjuangan, memimpin ummah mendepani
cabaran dan ancaman musuh Allah swt. Ulama' sayugianya menjadi benteng
kukuh mempertahankan kesucian Islam dan gerakan perjuangannya agar tidak
tembus dan tiris dek serangan pelbagai anasir negatif yang mahu
merosakkan jamaah dan meretakkan hubungan sesama pejuangnya.
3. Sifat ulama' yang diredhai oleh Allah swt. antaranya ialah Haraki.
Sifat ini mengeluarkan mereka dari kelompok yang mengaku ulama' namun
jumud dan beku. Sifat Haraki turut membebaskan para alim ulama' dari
kumpulan mereka yang mengaku ulama' namun hidup dan aktiviti rutinnya
tidak melandasi Manhaj Islam yang telah diwariskan oleh Nabi saw.
4. Ulama' Haraki inilah yang mahu kita lahirkan dalam PAS, guna
menggerakkan bahtera perjuangan ini menepati hala tuju asas yang
digariskan oleh Nabi saw ke arah mencapai keredhaan Allah swt. Ulama'
Haraki ialah Ulama' yang bertolak dari kekuatan aqidah, ilmu dan
peribadi justeru selayaknya mereka adalah :
~ Ulama' yang pantas menyahut seruan perjuangan tanpa lengah dan beralasan.
~ Ulama' yang tangkas menepis segala da'ayah yang merosakkan Islam dan jamaahnya.
~ Ulama' yang gagah meredah halangan mendepani cabaran luaran dan dalaman.
~ Ulama' yang peka menangani isu semasa dan menyelesaikannya dengan ilmu dan petunjuk Islam.
~ Ulama' yang berani menjuarai gerakkerja pembelaan aqidah, fikrah dan syakhsiyah.
~ Ulama' yang kental menghadapi fitnah lantas membersihkannya dengan tegas dan wibawa.
~ Ulama' yang cekal mengharungi karenah ummah lalu membimbing tangan mereka.
~ Ulama' yang mesra menjalani kehidupan bersama masyarakat dan bersifat inklusif.
~ Ulama' yang pro aktif dan sedia menguasai ruang terbuka selain markas, masjid dan surau.
~ Ulama' yang senantiasa memelihara kesolehan peribadi agar menjadi qudwah sepanjang masa.
5. Iklim politik tanahair kita hari ini kian kelam dan ditambah pula
indeks sosial yang semakin parah ekoran suburnya aktiviti mungkar dalam
negara kita. Pastinya ulama' tidak boleh berpada dengan kuliah maghrib
dan khutbah jumaat semata - mata kerana itu menghadkan interaksi ulama'
hanya dengan 'regular customers' sedang mereka yang terjebak dalam
pelbagai kancah mungkar ini sebahagian besar mereka tidak pernah pun
menjejak kaki ke tangga masjid dan surau, apa lagi markaz PAS.
6. Ulama' hari ini mesti mampu berdaya saing dalam mengurus dan mengatur
tindakan menangani keperluan dan tuntutan zaman, agar ulama' dilihat
pro aktif, kreatif, responsif dan agerasif dalam gerakkerja mereka
dengan menepati sempadan dan batas akhlak serta manhaj an nabawi. Antara
tuntutan dan keperluan zaman hari ini, ialah masyarakat mahu ulama'
kita adalah ulama' kontemporary dan mudah didampingi sebagai konsultant
am untuk menyelesaikan pelbagai masaalah yang dihadapi oleh mereka dalam
kehidupan seharian.
7. Tegasnya, ulama' kita mesti bangkit ! inilah masanya bagi membuktikan
bahawa ulama' bukan lagi kelompok belasahan yang boleh diherdik,
dipertikai, dipersenda, dicatur, diperalat dan dipermainkan kewibawaan
diri serta ilmu yang dimiliki. Ulama' mesti keluar dari zon selesa untuk
melihat cabaran sebenar yang sedang dihadapi oleh ummat dan Gerakan
Islam masa kini. Ulama' jua mestilah berpadu tenaga dan fikrah bagi
mengembeling kekuatan untuk mempertahankan Islam dan gerakannya dari
pelbagai anasir yang cuba untuk merobek dari segenap arah.
8. Sampai bila ulama' - ulama' kita mahu bersifat defensive berdepan
dengan 1001 helah bermadah dari musuh - musuh Allah swt. ? Lihat
bagaimana ulama' di Mesir kini telah bangkit menggerakkan kesedaran
rakyat dan memimpin pergerakkan mereka menentang kudeta yang zalim dan
kejam. Ambillah contoh dari keberanian mereka menongkah cabaran.
Namun
jangan terlewat untuk bangkit. Jangan tunggu tergadah baru nak menadah.
Bangkit sekarang untuk mengembalikan izzah Islam, menerajui perjuangan
bergandingan dengan tokoh - tokoh profesional yang komited dengan
perjuangan Islam jua para aktivis yang mukhlisin bagi menempa kemenangan
bergaya buat islam.
9. Saya mengharapkan Multaqa Ulama' yang akan berlangsung pada 14
September 2013 ini akan menjadi turning point untuk menyemarakkan
kebangkitan ulama' - ulama' Islam yang haraki sifatnya guna mendokong
amanah perjuangan. Seimbang dan sepadu dengan kemaraan tokoh - tokoh
profesional yang tidak dinafikan peranan dan sumbangan besar mereka
terhadap perjuangan Islam serta diperkaya pula dengan kehadiran aktivis
yang sedia sejuk berhujan dan panas berjemur demi memikul bersama amanah
Islam yang berat ini.
10. Sayugianya lah Multaqa Ulama' menjadi nilai tambah kepada kekuatan
Gerakan Islam [PAS] dan sekaligus menggerunkan musuh Allah swt dengan
bangkitnya para alim ulama' seiring sejalan dengan tokoh profesional dan
aktivis yang komited dengan manhaj perjuangan Islam yang kita dokong
bersama. Maka , tunggu apa lagi ? saya kira Multaqa Ulama' yang akan
diadakan di Kompleks PAS Kedah Batu 9, Kota Sarang Semut itu perlu
dihadiri oleh alim ulama' kita khasnya ulama' - ulama' muda. Saya
menganggap ini adalah program lanjutan dari Xpresi Ulama' Muda Haraki
yang pernah dianjurkan oleh DPPM sebelum ini.
[ Terdahulu Dewan Pemuda PAS Malaysia telah menganjurkan Xpresi Hijau
Anak Muda di seluruh negara dan ianya telah dihadiri oleh puluhan ribu
anak muda dari seluruh negara dan sebahagian besar mereka ialah aktivis.
Berikutan itu, DPP Malaysia menganjurkan 2 kali Himpunan Xpresi
Profesional Muda yang turut dihadiri oleh tokoh - tokoh profesional muda
dari pelbagai bidang kemahiran untuk mereka bergerak selangkah kaki dan
sehayun tangan dengan para alim ulama dan aktivis parti.
Insyaallah pada 4,5 dan 6 Oktober akan datang, DPPM pula akan
menganjurkan salah satu aktiviti tahunannya iaitu IJTIMAK TARBAWI 3.0 di
Pagoh Johor ]
Nasrudin bin Hassan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan