Perbahasan Usul oleh al Fadhil Ustaz Hairul Nizam Mat Husain mewakili Dewan Ulama' PAS Pusat:
"Kemenangan paling awal sebelum kita menempuh Putrajaya adalah apabila kita meletakkan sepenuh usaha kita bagi kita pastikan kita di antara tenaga yang menyokong dan membantu ke arah kemenangan".
"Kita tidak mahu jadi ahli PAS yang hanya bersemangat tetapi apabila diminta untuk memberikan khidmat dari segi harta, tenaga untuk membantu kemenangan Islam, tiba-tiba orang yang paling bersemangat inilah yang menjadi orang yang paling jauh memberikan sumbangan, harta tenaga kepada perjuangan Islam".
"Kemenangan paling awal adalah apabila seluruh ahli PAS menjadi ahli yang sanggup mengorbankan segala-galanya untuk memastikan kemenangan Islam yang bakal terhasil selepas ini akan menjadi satu kemenangan yang disambut oleh seluruh ahli PAS".
"Kita perlu letakkan kemenangan ini adalah apabila diperkenankan oleh Allah SWT. Menjadi kegusaran apabila kita meletakkan Islam ini perlu disorokkan sementara waktu dalam mendapatkan kemenangan. Kita adalah satu kaum yang diberikan kemenangan atas dasar Islam (kalam saidina Umar)".
"Maka atas dasar itu Dewan Ulama' PAS Pusat meminta kepada seluruh perwakilan untuk tidak meletakkan perjuangan Islam ini, hukum hakam syara' ini sebagai perkara kedua, ketiga dan keempat, bahkan kita sebagai umat Islam yang meletakkan PAS sebagai sebuah Gerakan Islam, kita mahukan apabila kita menang nanti kemenangan yang membawa kepada kita dapat melaksanakan syariah Allah SWT".
Aqidah kemenangan Apabila kita meletakkan kemenangan itu atas dasar Islam. Aqidah kemenangan apabila kita melakukan sebarang perkara yang membawa kepada kemenangan.
Nabi SAW bersabda di dalam sepotong hadis pernah menyatakan:-
أَخْبَرَنَا عُثْمَانُ ، قثنا أَحْمَدُ بْنُ مُلاعِبٍ ، ثنا أَبُو غَسَّانَ ، قثنا إِسْرَائِيلُ ، عَنْ عَبْدِ الأَعْلَى ، عَنْ بِلالِ بْنِ أَبِي بُرْدَةَ ، عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ ، قَالَ : سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، يَقُولُ : " مَنْ طَلَبَ الْقَضَاءَ وَاسْتَعَانَ عَلَيْهِ وُكِلَ إِلَيْهِ ، وَمَنْ لَمْ يَطْلُبْهُ ، وَلَمْ يَسْتَعِنْ عَلَيْهِ أَنْزَلَ اللَّهُ إِلَيْهِ مَلَكًا يُسَدِّدُهُ " .
Inilah aqidah kemenangan Islam, Baginda Nabi SAW bersabda:
“Sesiapa yang menuntut memohon untuk meminta sesuatu jawatan dalam kenegaraan, maka urusan pemerintahan itu akan diserahkan kepada dia semata-mata tanpa sebarang bantuan daripada Allah SWT. Manakala apabila seseorang itu tidak memohon sebarang jawatan tetapi dia diamanahkan untuk menerima jawatan tersebut, lantas dia memegang jawatan tersebut maka Allah SWT akan mengutuskan seorang malaikat yang akan memastikan segala pergerakan pemimpin ini didasari atas dasar kebenaran dan mendapat taufiq daripada Allah SWT".
Atas dasar itu, Dewan Ulama' PAS Pusat ingin memberikan peringatan kepada seluruh calon-calon yang bakal bertanding dalam pilihanraya akan datang supaya calon-calon ini meletakkan bahawa sebenarnya urusan kepimpinan itu sebenarnya merupakan satu AMANAH dan Rasulullah SAW pernah bersabda:
“وهي الندامة في يوم القيامة” urusan pemerintahan ini kalau tidak dipegang dengan syariat, tidak dipegang atas dasar amanah akan mengundang malapetaka daripada Allah SWT di hari akhirat kelak.
Atas dasar itu, Dewan Ulama' PAS Pusat memohon kepada para kepimpinan PAS untuk melihat sebarang tindakan mana-mana calon yang meminta mana-mana jawatan tersebut atau melobi agar mereka dijadikan sebagai calon, Dewan Ulama' PAS Pusat meminta agar calon-calon ini tidak akan dijadikan sebagai calon pilihanraya akan datang.
Apa guna kita mempunyai kemenangan tetapi kemenangan yang tersasar dari perjuangan Islam. Meminta jawatan bukan satu perkara yang dituntut oleh Islam. Sistem cacak bendera, cacak khemah di tempat-tempat bukan kita, atas dasar untuk mencari publisiti agar dijadikan sebagai kepimpinan merupakan satu perbuatan yang sangat tidak beramanah, dan bercanggah dengan apa yang diajar oleh baginda SAW.
Dewan Ulama' PAS Pusat berusaha untuk memastikan sebarang kemenangan yang akan dihasilkan oleh Allah (biiznillah) dalam perjuangan Pilihanraya akan datang akan menjadi satu perkara yang diisi dengan kemenangan berdasarkan syariat.
Atas dasar itu, apabila yang ingin dibawa adalah sebuah negara yang menjadi makmum kepada Allah, yang tunduk dan patuh kepada Allah, maka sepatutnya yang menjadi kepala tertinggi dalam negara tersebut adalah orang paling mengetahui terhadap hukum hakam Allah SWT.
Agar kerajaan yang didasari dengan Islam ini akan terus mara ke hadapan tanpa disusuri dengan perkara-perkara yang mengundang kemurkaan Allah, atau mengundang dengan penyalahgunaan kuasa ataupun bercanggah dengan kehendak Allah. Maka tuan-tuan yang dirahmati Allah, saya ingin bertanya dengan seluruh perwakilan, siapa orang yang paling terbaik untuk memimpin kerajaan Malaysia akan datang kalau bukan Tuan Guru Presiden kita.
Bukan sebagai alasan untuk menaik-naikkan beliau, tapi beliaulah orang yang paling layak untuk menjadi pemimpin, Perdana Menteri bagi Malaysia akan datang dan kita sebagai abnaul harakah, sebagai anak didik kepada Parti Islam Semalaysia.
Tidak sepatutnya kita boleh berkempen agar orang lain menjadi pemimpin sedangkan negara yang ingin dibawa adalah negara yang berdasarkan syariat dan kita meletakkan satu keyakinan bahawa Tuan Guru Presiden kita adalah seorang yang begitu berkaliber untuk memimpin sebuah negara lantas mengundang apa yang disebutkan 'Baldatun Toyyibatun wa Rabbun Ghafur", Sebuah negara yang baik lantas membawa dengan dasar kerahmatan dan pengampunan dari Allah SWT...
Ustaz Hairul Nizam Mat Husain
Perwakilan Dewan Ulama' PAS Pusat,
Perbahasan Ucapan Presiden PAS,
Muktamar Kali ke-58 PAS Pusat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan