Dewan Ulama Pas Pusat hari ini menyatakan kesediaan untuk mengadakan perbincangan dengan bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin tentang kaedah dan syarat yang sesuai bagi mengadakan wacana, yang disyorkan pihaknya untuk menyelesaikan kontroversi berkaitan soal teguran dan gaya pimpinan Ayatollah.
Setiausaha Dewan Ulama Pas Pusat, Dr Mohd Khairuddin A Razali berkata, Pas tidak mempunyai masalah untuk membincangkan secara matang dan profesional dengan Asri yang sudah "terbiasa dengan Pas."
Menurutnya, Pas akan mengambil tindakan susulan untuk berbincang dengan Asri bagi mencapai persetujuan untuk memilih platform yang boleh membincangkan isu pemimpin Ayatollah dalam suasana lebih berilmu dan matang.
Tambah beliau, “kita menyambut baik jika Dr Asri bersetuju.”
“Kita akan bincangkan cara yang akan digunakan untuk membincangkan isu itu, kalau beliau nak guna cara wacana, kita akan ikut.
"Lagi pun kita tidak kekok dengan beliau, kita sudah biasa, dan kita akan berbincang dengan sesiapa sahaja yang mahu pencerahan dalam sesuatu isu yang meragukan.
"Kita yakin perbincangan berilmu ini akan dilakukan dalam keadaan aman,” katanya kepada Sinar Harian Online hari ini, di sini.
Semalam, Asri berkata, beliau bersedia untuk berwacana dengan Dewan Ulama Pas Pusat berhubung isu pimpinan Ayatollah sekiranya pertemuan itu bagi membincangkan isu dibangkitkan secara “matang dan ilmiah.”
“Jika ada apa-apa wacana ilmiah yang berbincang secara matang, saya sudi untuk pergi. Tetapi, ia perlu dibuat secara perbincangan yang matang,” kata beliau.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada jemputan Mohd Khairuddin dan akan memberikan pandangannya kelak.
Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin berkata, sesiapa sahaja yang mahukan pencerahan terhadap sesuatu isu, Pas tidak akan menolak, selagi tidak bercanggah dengan perjuangan Islam.
"Seperti isu Chua Soi lek hina hudud, kita terima kalau pihak Barisan Nasional terutamanya Umno nak berbincang, berdiskusi dengan kita secara matang, kita terbuka," katanya lagi/Sinar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan