PENGIKUT

Khamis, Oktober 11, 2012

Dasar Percukaian Perlu Penambahbaikan

Pemerintahan dalam Islam menekankan konsep keadilan dan kebajikan. Allah berfirman dalam Surah al-Nisa' ayat 58 bermaksud; "Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu menunaikan amanah kepada yang berhak, dan apabila kamu memerintah di kalangan manusia (Allah memerintahkan) kamu memerintah dengan adil." Atas prinsip ini, PAS menggagaskan Negara Berkebajikan yang meletakkan antaranya asas utamanya prinsip adil dan Ihsan (al-`Adl wa al-Ihsan). 

Antara keadilan dan kebajikan yang mesti dipraktikkan ialah dalam persoalan percukaian. Ia berkait rapat dengan persoalan pendapatan rakyat dan mempengaruhi tahap keadilan dan kebajikan yang sepatutnya dinikmati oleh seluruh rakyat. Secara asasnya Islam tidak meletakkan percukaian sebagai sumber utama negara. Sumber utama negara boleh diperolehi daripada hasil mahsul bumi dan khazanah negara seperti galian dan lain-lainnya. Justeru, kerajaan dalam Islam tidak mengenakan cukai daripada individu melainkan dengan beberapa syarat, antaranya:

 1. Cukai yang diambil sebagai imbalan kepada khidmat yang disediakan oleh kerajaan seperti menyediakan kemudahan awam seperti jalan raya, hospital dan sekolah. 

 2. Hasil pendapatan negara dari sumber selain daripada percukaian tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan negara. 

3. Tidak berlaku sebarang ketirisan perbelanjaan atau salahguna harta negara. Umum mengetahui bagaimana kerajaan Malaysia di bawah Barisan Nasional antara negara yang mengenakan cukai yang tinggi terhadap rakyatnya, sedangkan dalam masa yang sama kerajaan mempunyai sumber pendapatan besar daripada pelbagai sumber hasil bumi negara. 

Apatah lagi apabila persoalan ketirisan, salah urus dan salah guna harta negara berlaku sebagaimana diketahui umum dan ditegaskan pula oleh laporan-laporan rasmi. Untuk itu, undang-undang percukaian negara perlu dibuat penambahbaikan untuk diselaraskan dengan Islam yang boleh menjamin keadilan kepada rakyat dan juga kebajikan dan ihsan untuk mereka. PAS bersama Pakatan Rakyat menawarkan kerajaan baru sebagai alternatif kepada rakyat bagi memberikan keadilan dan kebajikan yang sebenarnya berprinsipkan Islam dan urustadbir terbaik berlandaskan wahyu.

Dr Mohd Khairuddin A. Razali 
Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat

Tiada ulasan: